Saturday, September 6, 2008

Amanah Part 2

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang maseh mengurniakan peluang kepada ana untuk terus mengupdate blog ini. Kali ini, insyaAllah, ana akan cuba untuk menyambung huraian mengenai amanah.

Ana nak sambung mengenai amanah kita terhadap Allah sebagai hamba dan khalifah-Nya. Amanah kita terhadap Allah SWT sebenarnya terlalu banyak. Menunaikan ibadah kepada Allah, mentadbir bumi ini mengikut ajaran Islam dan meninggalkan segala kemungkaran. Semuanya amanah yang perlu kita tunaikan dengan sebaiknya.

Meneruskan dakwah Islamiyah menyebarkan Islam di atas muka bumi ini merupakan amanah kita terhadap rasul tercinta, Nabi Muhammad SAW, di samping mencuba sedaya upaya untuk mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.

Anggota badan kita yag dipinjamkan oleh Allah SWT juga merupakan suatu amanah. Kita seharusnya menggunakan anggota badan tersebut untuk melakukan kebaikan, bukannya melakukan maksiat. Tangan tidak seharusnya digunakan untuk memegang lelaki atau perempuan ajnabi. Kaki pula tidak seharusnya digunakan untuk melangkah ke tempat maksiat. Mulut pula seharusnya digunakan untuk berzikir kepada Allah SWT, membaca al-Quran, menyebut perkara-perkara yang baik dan pelbagai lagi kebaikan.

Apakah yang dikatakan dengan mengkhianati amanah Allah SWT? Mengabaikan perintah-Nya, tidak berjuang menegakkan Islam, tidak meneruskan dakwah Islamiyah, menggunakan anggota badan milik Allah SWT untuk melakukan kemungkaran. Setiap perbuatan ini menunjukkan bahawa kita mengkhianati amanah yang dikurniakan Allah SWT kepada kita.

Tanpa kita sedari, sebenarnya, terlalu banyak amanah yang kita pikul. Dan setiap amanah yang kita galas di bumi yang fana ini akan dipersoalkan di akhirat kelak. Kita akan disoal sama ada kita telah menjalankan amanah kita dengan sebaiknya di dunia ini. Mampukah kita melaksanakan setiap amanah kita pikul? Segalanya terpulang kepada diri kita sendiri, sama ada kita mahu melaksanakan tanggungjawab kita dengan sebaiknya atau sekadar menjalankan tanggungjawab tersebut dengan sambil lewa.

Pendamba Cinta dan Redha Ilahi

No comments: