Tuesday, August 19, 2008

Kemungkaran bagaikan suatu kebiasaan?

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, ana maseh berupaya mencoretkan sesuatu untuk dikongsikan bersama para pembaca. Walaupun agak sukar untuk mencari satu tajok yang sesuai untuk dibicarakan, ana bersyukur kerana akhernya Allah membukakan pintu hati ana untuk menulis mengenai kemungkaran yang seolah-olah menjadi kebiasaan dalam hidup kita.

Pelbagai kemungkaran dapat kita lihat dalam kehidupan kita pada hari ini. Perkara-perkara mungkar tersebut semakin berleluasa dalam kehidupan umat Muhammad. Malah, tanpa kita sedari, mungkin kita turut melaksanakan larangan Allah SWT, atau setidak-tidaknya bersubahat dalam melakukan sesuatu kemungkaran.

Dalam zaman yang serba canggih ini, kemungkaran seolah-olah menjadi suatu perkara yang biasa, perkara yang tidak perlu dipedulikan. Amalan-amalan mendedahkan aurat, tidak berpuasa pada bulan Ramadhan, meninggalkan solat fardhu dan pelbagai lagi kemungkaran bagaikan sudah menjadi darah daging umat Islam. Kesemua kemungkaran ini bagaikan suatu perkara biasa yang tidak perlu dicegah mahupun ditentang.

Bukankah sepatutnya perkara-perkara mungkar ini dilihat sebagai suatu perkara yang luar biasa? Ya. Perkara-perkara sebegini sememangnya suatu perkara yang luar biasa! Kita melakukan kemungkaran dalam keadaan sedar, tanpa terdetik sedikit pun rasa bersalah, rasa malu dalam hati kita. Sedangkan kita hanyalah hamba yang lemah. Siapalah kita jika dibandingkan dengan Sang Pencipta yang menciptakan kita?

Kita maseh punya Pencipta. Jangan pernah sekali-kali kita lupakan perkara itu. Sepatutnya, setiap umat Islam perlu sematkan dalam hati, dalam fikiran masing-masing bahawa kita hanyalah hamba yang lemah & punya Pencipta iaitu Allah SWT. Setiap amalan kita, sama ada baik atau buruk, hatta amalan sekecil zarah sekalipun, semuanya akan dihisab kelak. Amalan kita di dunia yang fana inilah yang akan menentukan nasib kita di akhirat nanti.

Ana yakin, sekiranya kita sebagai umat Islam sentiasa mengingati Allah SWT dan kehidupan di akhirat kelak, sudah tentu kemungkaran akan dilihat sebagai suatu perkara yang luar biasa dalam hidup kita. Kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita akan dipandang sebagai suatu perkara yang amat pelik. Dan hasilnya nanti, tiada siapa yang akan melakukan kemungkaran.

Apa yang sedang berlaku pada umat Islam akher zaman pula adalah yang sebaliknya. Jarang sekali kita mengingati Allah. Terlalu sedikit masa yang kita gunakan untuk berfikir mengenai kehidupan kita di akhirat yang kekal abadi nanti. Oleh sebab inilah kemungkaran dengan mudahnya bermaharajalela.

Marilah kita bersama-sama melakukan muhasabah terhadap amalan masing-masing. Seandainya ajal kita tiba, cukupkah amalan kita selama ini untuk memastikan kita menjejakkan kaki, memasuki syurga Allah SWT?

Marilah bersama-sama kita ambil sedikit waktu dalam kehidupan seharian kita untuk mengingati Allah. Marilah bersama-sama kita fikir-fikirkan nasib yang bakal kita terima di akhirat kelak. Marilah bersama-sama kita teruskan perjuangan bagi menegakkan kembali Deenul Haq tercinta di atas muka bumi ini. Semoga suatu hari nanti, agama tercinta ini akan kembali menguasai dunia. InsyaAllah.

Pendamba Cinta dan Redha Ilahi

No comments: