Wednesday, August 20, 2008

Salahkan agama?

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, sekali lagi ana berpeluang untuk mencoretkan sesuatu buat tatapan pembaca sekalian. Harapan ana, biarlah segala kata-kata yang bakal dilakarkan nanti memberikan manfaat. InsyaAllah.

Tulisan ana pada kali ini bukan sahaja berkaitan dengan Islam dan umatnya, malah, melibatkan masyarakat bukan Islam. Tajok yang bakal ana bicarakan sebentar lagi mungkin kelihatan seperti suatu perkara yang remeh. Namun, perkara yang remeh inilah memberikan impak yang amat besar dalam hidup kita.

Wajarkah agama dipersalahkan apabila umatnya melakukan kemungkaran? Bagi ana, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Namun, hakikatnya, perkara inilah yang sedang berlaku dalam dunia kita pada hari ini. Agama seringkali dipersalahkan apabila kemungkaran berlaku. Bukannya pelaku kemungkaran tersebut yang disalahkan, tetapi agamanya!

Apabila pelbagai jenayah yang melibatkan umat Islam berlaku, ajaran Islam pasti disalahkan. Malah, tatkala umat Islam cuba untuk mempertahankan hak masing-masing, sehingga terpaksa menggunakan kekerasan, ajaran Islam turut diheret sekali. Ketika rakyat Palestin cuba untuk menentang tentera-tentera Israel yang tidak berperikemanusiaan, ajaran Islam yang disalahkan. Islam dilabelkan sebagai agama pengganas! Sedangkan, jika kita lihat dengan teliti, pasti boleh kita bezakan, sudah tentu kita akan ketahui siapa pengganas yang sebenarnya dan siapa yang menjadi mangsanya. Salahkah rakyat sesebuah negara mempertahankan tanah air mereka?

Ajaran Islam turut disalahkan dalam pelbagai situasi lagi. Apabila terdapat umat Islam yang sihat tubuh badan, namun hidup dalam keadaan daif, hidup dalam keadaan yang penuh dengan kesengsaraan, penderitaan, sehingga mereka terpaksa menyembunyikan rasa malu masing-masing, menadah tangan meminta sedekah daripada orang lain, ajaran Islam tetap disalah. Sedangkan kita boleh lihat dengan jelas siapa yang bersalah sebenarnya. Malah, ajaran Islam turut disalahkan apabila penganutnya melakukan jenayah.

Apakah gunanya menuding jari, meletakkan segala kesalahan kepada ajaran Islam? Mengapa tidak disalahkan sahaja individu yang membuat kesalahan tersebut? Wajarkah agama dilibatkan sekali apabila terdapat penganutnya yang melakukan kejahatan sedangkan agama tersebut langsung tidak melakukan apa-apa kesalahan? Perlukah Islam disalahkan apabila penganutnya melakukan kemungkaran?

Islam tidak sepatutnya disalahkan setiap kali penganutnya melakukan kemungkaran. Malah, individu yang melakukan kesalahan tersebutlah yang patut disalahkan. Ya. Salahkan individu yang melakukan kemungkaran tersebut. Letakkan semua kesalahan pada individu tersebut. Kerana dirinya sendiri yang memilih untuk tidak mentaati ajaran Islam. Kerana individu itu yang enggan mempraktikkan ajaran Islam.

Namun, cukupkah hanya dengan menyalahkan individu itu sahaja? Ya, sudah tentu tidak cukup. Oleh itu, nasihatilah dirinya. Berikanlah teguran-teguran yang mampu menyedarkan individu tersebut agar tidak mengulangi perkara yang sama lagi. Mungkin juga pesalah tersebut tidak menyedari apa yang dilakukannya adalah salah. Mungkin dia terkeliru dengan ajaran Islam. Sudah menjadi kewajipan kita untuk membantu saudara seagama. Oleh itu, bantulah individu tersebut. Leraikan segala kekusutan, hilangkanlah segala kekeliruan yang ada dalam dirinya.

Sedarlah wahai umat Islam! Jauhilah segala kemungkaran. Amalkanlah ajaran Islam yang sebenarnya. Ajaran Islam yang suci dan murni, yang tidak pernah mengajar umatnya untuk melakukan kejahatan. Praktikkanlah ajaran Islam dengan sempurna.Semoga masyarakat bukan Islam akan tertarik dengan ajaran Islam, satu-satunya agama yang diredhai Allah. Dan ingatlah wahai manusia. Berhentilah menyalahkan agama Islam tatkala penganutnya melakukan kemungkaran! Janganlah melihat lantas melabel Islam melalui perlakuan umatnya.

P/S: Ana suka letak tajok dalam bentuk persoalan kerana ana amat berharap agar para pembaca bukan sahaja membaca tulisan ana, malah berfikir dan renungkan dengan teliti apa yang ana coretkan. =)

Pendamba Cinta dan Redha Ilahi

No comments: